Kuala Lumpur – Ketua Eksekutif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Malaysia (KPKM), YBhg. Datuk Seri Isham Ishak telah merasmikan program My Food 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre pada petang semalam.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Malaysia dalam kenyataan medianya, My Food 2025 bertujuan memperkukuh keterjaminan makanan negara dengan memberikan tumpuan kepada industri tempatan sebagai pemacu utama dalam memperkasakan produk makanan Malaysia serta memperluas akses pasaran bagi pemain industri tempatan.

Food 2025 merupakan acara yang julung-julung kalinya bakal diadakan pada 24 hingga 26 April 2025 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan diadakan serentak dengan International Café & Beverage Show (ICBS), pameran yang berfokuskan kepada industri kafe dengan menawarkan produk premium inovatif untuk kafe persendirian dan peruncit di seluruh negara.

Jelas pihak penganjur, program ini menghimpunkan pelbagai pakar daripada sektor komersial, kerajaan, dan akademik yang akan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka mengenai strategi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

“Perbincangan dalam program ini akan merangkumi pelbagai aspek, termasuklah penggunaan teknologi moden dalam pertanian dan penternakan, amalan terbaik dalam pengurusan sumber serta dasar dan insentif kerajaan yang dapat membantu merangsang pertumbuhan sektor makanan tempatan.”

Selain itu, program ini turut membuka peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar serta pengamal industri dari pelbagai bidang dalam sektor pengeluaran makanan tempatan, sekali gus memperkukuh rangkaian kerjasama dan pertukaran idea yang bermanfaat.